Pages

Saturday, August 21, 2010

Rahsia tapak kaki

Kesihatan KAKI

MUNGKIN kerana kedudukannya yang paling bawah, ia adalah anggota tubuh terakhir atau langsung tidak mendapat perhatian sebahagian besar daripada kita.


Tetapi, kita terlupa. Pada bahagian paling bawah inilah, dilengkapi dengan kejuruteraan berstruktur yang amat menakjubkan - kaki.

Tugas dan tanggungjawabnya juga bukan calang-calang. Seluruh `berat badan' dibebankan kepadanya. Ia juga umpama `kenderaan' paling selamat yang membawa kita ke mana saja.

Sebab itulah, ada pendapat yang mengatakan, jika kaki anda sihat, maka kesihatan tubuh secara keseluruhan juga terjamin.

Malangnya, berapa ramai yang mengambil berat tentang kesihatan kaki, seperti kita `menjaga' lain-lain anggota tubuh?

Sebaliknya, saban hari, kita telah dan terus `menindas' kaki dengan banyak cara. Antaranya, menyarung kaki dengan kasut yang tidak begitu sesuai, berdiri berjam-jam dan sebagainya.

"Lama-kelamaan, jika keadaan ini dibiarkan, kaki akan mengalami tekanan berlebihan."

"Kesannya, ia boleh menjejaskan kesihatan tubuh secara keseluruhan seperti sakit leher, lutut dan belakang," kata Pakar Runding Podiatri, Pusat Penjagaan Kesihatan Komplementari Datuk Paduka Saleha, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Mark Reyneker.

Menurut beliau, sebilangan besar kesakitan yang dirasai pada anggota tubuh tersebut berpunca daripada fungsi kaki yang terjejas. Bagaimanapun, berita baiknya, ia ada penawar.

Tetapi, tidak ramai yang benar-benar faham atau ambil peduli apabila fungsi kaki mereka terjejas. "Sebab itulah, mereka terus memilih untuk hidup dalam ketidakselesaan atau membiarkan diri dalam kesakitan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran butik kasut terkemuka, di sebuah pusat membeli-belah baru-baru ini.

Menurut Reyneker, sebilangan orang tidak menghidap penyakit yang serius, tetapi mereka berasa tidak selesa setiap kali berjalan atau berdiri terlalu lama.

Malah, pada masa yang sama, tidak kurang yang merungut kerana gagal mendapat kasut yang sesuai dengan pelbagai alasan.

Sehubungan itu, selain rawatan perubatan, hanya kasut yang dilengkapi dengan alat sokongan dan kusyen yang sesuai dapat membantu merawat masalah kaki.

ANTARA JENIS MASALAH KAKI:

- Rengsa pada otot-otot labu betis kaki
Individu yang menderita masalah ini biasanya mengadu rasa sakit teramat sangat apabila mereka mula memijak lantai selepas bangun tidur.

Atau, beberapa langkah pertama selepas duduk dalam jangka masa yang lama. Rasa sakit ini berkurangan apabila melakukan aktiviti.

Otot-otot labu betis terletak pada bahagian belakang kaki hingga ke tumit. Masalah ini boleh menjadi semakin serius dengan pelbagai aktiviti yang menyebabkan tekanan pada tendon.

Biasanya ia dihadapi oleh atlet terutama pelari jarak jauh. Antara sebab berlakunya masalah ini ialah pemilihan kasut yang salah, kecederaan pada tendon dan kecacatan tulang tumit.

- Bunion
Bengkak pada sendi antara ibu jari kaki dan tulang metatarsal pertama. Benjolan yang timbul ini menyebabkan ibu jari kaki tertolak ke jari kaki yang lain.

Bagaimanapun, masalah yang paling kerap dialami oleh hampir kebanyakan wanita ini disebabkan pemakaian kasut yang ketat.

Selain itu, ia juga disebabkan radang sendi dan kelainan pada fungsi kaki.

Antara gejalanya ialah radang, pembengkakan dan kesakitan pada sisi permukaan ibu jari.

- Kematu
Pembentukan sel-sel kulit mati yang mengeras dan menebal pada tapak kaki. Ia berlaku sebagai satu tindak balas bagi melindungi kaki akibat tekanan yang berlebihan dan geselan.

Kematu, biasanya terbentuk pada tumit, benjolan tapak kaki atau bahagian bawah ibu jari kaki.

Masalah ini biasanya disebabkan pemakaian kasut bertumit tinggi, kasut terlalu kecil, obesiti dan cara seseorang itu berjalan.

Selain itu, tapak kaki yang rata, atau lengkungan tapak kaki terlalu dalam dan kehilangan lemak-lemak pada bawah tapak kaki juga punca seseorang itu menghidap kematu.

- Belulang
Seperti kematu, belulang terjadi akibat pengumpulan sel-sel kulit mati pada kaki. Ia akan menebal dan lama-kelamaan menjadi keras.

Ia terbentuk pada bahagian atas sisi dan hujung jari. Amat menyakitkan dan boleh menjadi radang jika ia sering tergesel dengan kasut yang dipakai.

Belulang disebabkan oleh pemakaian kasut yang ketat, kasut tumit tinggi, sarung kaki dan stoking yang terlalu ketat atau kecacatan pada jari kaki.

- Tapak kaki rata
Ia merupakan masalah biomekanikal yang berlaku semasa seseorang berjalan.

Pergerakan semasa berjalan boleh menyebabkan tekanan yang ekstrem atau radang pada tapak kaki.

Mereka yang mengalami masalah ini tidak merasai ketidakselesaannya pada masa yang sama atau langsung tidak merasainya. Tetapi, apabila gejalanya mula timbul dan rasa sakit, cara berjalannya pelik.

- Sakit tumit
Gejalanya dialami pada awal pagi atau selepas berehat dalam jangka masa yang lama.

Ia juga antara masalah yang paling kerap ditemui. Ini kerana seluruh berat badan terpaksa diampu pada tumit. Lama-kelamaan, keadaan ini menyebabkan tekanan pada bahagian tersebut dan ketidakselesaan yang amat sangat.

Dua jenis masalah tumit ini ialah, sindrom sakit tumit dan plantar fasciitis. Sindrom sakit tumit berpunca daripada tumit kasut yang terlalu rendah, pelapik pada tumit kasut yang rosak atau peningkatan aktiviti secara tiba-tiba.

Manakala, plantar fasciitis disebabkan oleh tapak kaki rata. Apabila ia rata, kaki akan meregang dan menyebabkan timbulnya rasa sakit pada tapak kaki dan lengkungan tapak kaki.

- Metatarsalgia
Kesakitan nyeri yang dirasai pada tulang-tulang metatarsal iaitu pada bahagian bawah tapak kaki berhampiran jari kaki.

Masalah yang juga paling kerap ditemui ini boleh menjejaskan sendi-sendi dan tulang-tulang pada bahagian tersebut.

Kasut yang tidak sesuai atau kasut yang ketat menyebabkan bahagian ini tertekan. Ia menyebabkan seseorang tidak boleh berjalan dengan normal. Sekali gus, menyebabkan kesukaran ketika berjalan kerana rasa tidak selesa pada bahagian tersebut.

Selain itu, pemakaian kasut tumit terlalu tinggi, atau mereka yang menyertai aktiviti lasak tanpa menggunakan kasut yang sesuai juga boleh menekan bahagian ini.

Peningkatan usia yang menyebabkan lapisan lemak pada bahagian tapak kaki menipis, juga menyebabkan kita lebih mudah rasa sakit pada bahagian tersebut.

- Plantar fasciitis
Radang yang disebabkan regangan pada bahagian bawah tapak kaki. Regangan secara keterlaluan, menyebabkan rasa sakit pada tumit, lengkungan tapak kaki dan tumit.

Biasanya, regangan yang boleh menyebabkan radang dan rasa tidak selesa ini berlaku kerana:


- Tapak kaki rata

- Lengkungan tengah tapak kaki yang dalam

- Peningkatan aktiviti fizikal secara tiba-tiba

- Kehamilan atau berat badan berlebihan hingga membebankan kaki

- Pemakaian kasut yang tidak begitu sesuai.


** Credit : UtusanMalaysia

1 comment:

Azwana Wana said...

perkongsian yang menarik :) tq