Pages

Sunday, November 30, 2008

Kucing Galak

Nama lain herba ini ialah bayam pasir, Indian nettle, Kuppi Dan Dadaro, Indian Acalypha . Herba ni berasal dari Benua India. Di Malaysia banyak tumbuh di kawasan kampung. Mudah hidup. Yang anihnya pokok ini bila dicabut dan di biarkan tidak jauh dari kucing, anda tak perlu tunggu lama. Sebaik saja terhidu akan herba ini kucing akan terus menggigit bahagian akarnya. Mungkin ia adalah ubat untuk kucing.
Bagi manusia ia digunakan sebagai ubat lelah, batuk,radang tenggorok atau bronkitis dan sakit telinga.Keseluruhan pokok serta buahnya digunakan untuk meredakan sembelit, reumatik,radang paru-paru. daunnya yang dibuat pes boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit seperti kudis buta dan juga sembelit yang akut dikalangan kanak-kanak.
(Peringatan: Herba ini mengandungi toksid alkaloid acalyphine dan asid hidrosinik - acalyphine boleh mengganggu lendir membran gastro intestine ,namun ia selamat digunakan jika kita mnegunakan dalam jumlah sesuai dan dalam jangka yang pendek)

Wednesday, November 26, 2008

Petroleum Jelly

Yang ni sudah pasti bukan unsur unsur herba. Agaknya ramai orang tidak begitu mengenali apa yang dikatakan petroleum jelly(PJ)! Doktor atau pengamal perubatan atau ahli farmasi tentu teramat maklum. Bagi yang tidak pernah sentuh/kenal/beli PJ ni, sebenarnya ia seperti gris tapi tidaklah terlalu berminyak, warna hampir putih dan tidak berbau. Yang pasti pada satu ketika dulu-dulu, petroleum jelly dianggap sebagai miracle cure atau ubat serbaguna, namun selepas kajian demi kajian dibuat ia tidaklah menepati seperti yang disebut-sebut tu. Walau apa pun, setiap rumah perlu ada sebotol petroleum jelly. Bukan apa, sangat banyak kegunaannya dalam kehidupan seharian kita. Mudah dibeli di mana-mana farmasi/kedai ubat dan tidak mahal pulak tu (agak-agak RM4.50). Jadi apa sangat kelebihannya?
1) kalau anda bimbang syamfu masuk dalam mata anak kesayangan anda, sapu sedikit PJ di bahagian atas kening budak tu, mudah-mudahan syamfu tidak mengalir masuk ke dalam mata. sila cuba.
2) Sesetengah orang tu bulu keningnya agak berterabur atau tercacak, tak cantik dipandang. mudah.ambil sedikit PJdan sapukan di kening anda. Lihat kesannya.
3) Bagi wanita yang suka menggunakan dye rambut atau inai powder, kadang-kadang kesan inai atau dye tak terduga, melimpah ke dahi atau telinga. apa kata sebelum menggunakan dye/inai tu, sapu sedikit PJ di bahagian bawah rambut (hairline). PJ ni akan membantu mengelakkan dye/inai tu daripada merebak ke bahagian kulit muka.
4) Bagi wanita yang mengalami jari jemari yang kasar, mengelupas, mengapa tidak gosok PJ ni di tapak tangan anda sebelum tidur? Lihat kesannya keesokannya.
5) Cincin di jari sukar nak tanggal. mudah.sapu sedikit PJ, tolak ke atas dan ke bawah. Lihat kesannya!
6) Kabarnya kalau kita hendakkan minyak wangi yang mahal tu tahan lama di badan, ambil sedikit PJ dan sapukan di tempat titik nadi, lepas tu sembur ja minyak wangi tu. cuba tengok.
7) Yang paling kita meluat ialah chewing gum/bubble gum yang tak disangka-sangka melekat di celah-celah rambut. Tak perlu gunting rambut. Ambil sedikit PJ dan gosok perlahan-lahan., chewing gum tu dengan mudah akan tertanggal.
8) Kasut kulit yang lama tu ,tapi masih elok boleh dikembalikan kesegarannya dengan menggosok PJ. Buat macam kiwi.
9) Kalau musim semut menyerang rumah kita ,memang tak tahan. Nak disembur ubat yang banyak terdapat di super tu bimbang pula dia meresap ke dalam makanan. Jadi mudahnya, ambil PJ sapu di keliling kaki meja makan tu. cuba tengok.
10) Kita sering guna botol-botol lama seperti botol jem untuk mengisi segala `odds & ends' di rumah. Kalau dah lama tak guna botol tu memang amatnya sukar nak buka penutupnya! Jadi bila dah boleh buka (mudah saja, ikat penutup dengan getah-rubber bands dan pulas), jangan lupa menyapu sedikit PJ sebelum menutup semula botol tu.
11) Bateri kereta tahan lama! ambil sedikit PJ dan sapu di kedua-dua terminal.
12) Bila anda nak cat semula bahagian dalam rumah (nak save), kadang-kadang bahagian pemegang pintu tu jadi masalah! Mudah. sapu pemegang pintu tu dengan PJ, kemudian catlah pintu tu. lepas dah siap, sapu saja bahagian tombol pintu yang terkena cat tu dengan kain atau kertas surat khabar. Ia mudah tertanggal.
13) Kadang-kasang sakit mata melihat kesan air kerana terletak cawan atau gelas di atas meja kaju tanpa alas. Mudah. Ambil PJ , sapu di kawasan yang terlibat, keesokannya bersihkan saja dengan kain
14) Hentikan bunyi engsel pintu dengan menyapu PJ. murah.
15) Pernah terjadikah apabila kita cuba menanggalkan mentol yang terbakar, tiba-tiba, pusing punya pusing, bulb kaca tu yang terkeluar,manakala bahagian bawahnya(base) masih terlekat di soket. Lain kali bila kita nak tukar mentol baru, sapu sedikit PJ di bahagian bawah mentol tu. Mudah nak tanggal nanti bila mentol terbakar.
16) Ni pasal bilik air. Bilik air banjir.tersumbat entah kat mana. Kena pakai plunger yang berwarna hitam tu. sebelum guna sapu sedikit PJ di permukaan getah plunger tu, dan tekan sajalah di lubang air keluar tu. Mudah saja nak selesai masalah banjir dalam bilik air.
17) Bila terluka, cepat-cepat sapu PJ ,ia membantu melindungi kulit yang terdedah tu daripada jangkitan bakteria, sebelum mendapat rawatan doktor/hospital
18) Ini pasal vacuum cleaner/ penyedut hampagas?. Kadang-kadang jadi masalah kat kita bila nak tanggalkan bahagian-bahagian tertentu kerana dia melekat kuat. Mudah saja sapu sedikit PJ di bahagian yang bersambung. Pusing-pusing sedikit dan cabut. mudah ja.

Tuesday, November 25, 2008

Khasiat Kacang Bendi

Orang Utara sebut kacang lendiaq. Orang putih kata lady fingers. Juga disebut sebagai okra. Orang India sebut venddi Kai. Kalau tak silap di kalangan orang tionghua dipanggil Yeong Kok Tau. Nama saintifiknya pula ialah abelmoschus esculentus. Asal usul kononnya dari Ethiopia. Buah muda tentu sekali sedap dibuat sayur serta kari. Daun yang muda (pucuk tu boleh juga dimakan atau dijadikan sebagai makanan haiwan. Buahnya memang berkhasiat kerana ia dapat membantu menguatkasn otak serta menambah daya ingatan serta kecerdasan. Biji, akar serta bunganya kalau direbus boleh membantu melawas pembuangan air kecil serta mengurangkan bengkask atau radang. Ada orang kata ia juga dapat mengurangkan masalah sukar bersalin. Air rebusan biji,akar, serta bunganya jika disapu pada pelbagai kudis dan bisul, mujarab juga. Air rebusan buahnya kalau dicampur dengan gula memang sesuai dijadikan sebagai sirap ubat batuk atau merawat sakit kerongkong. Lendir yang terdapat dalambuahnya boleh dijadikan krim penyejuk serta melembutkan kulit. Pernha juga digunakan sebagai ubat gonorea dan siflis. Air rebusan buahnya boleh juga digunakan untuk meredakan bengkak saluran kerongkong dan hidung.Ada di setengah-tengahj tempat, bijinya menggantikan biji kopi. Kabarnya kacang bendi baik amat untuk rawatan penyakit kencing manis (dipetik dari web SDARA). Caranya ialah dengan mengambil 2 biji kacang bendi. Potong kedua hujungnya. Turis bahagian tengahnya. Rendam dalam segelas air semalaman. (tutup gelas). Keesokannya, keluarkan kacang bendi tu dan terus minum airnya. Lakukan selama dua minggu. Lihat kesannya. Kalau berkesan bagi tau kat kawan/kawang2.
Di sebelah negara Barat, diyakini bahawa kacang bendi dapat membantu,
i) mencuci hati
ii) menstabil kandungan gula dalam darah
iii) membantu melincinkan bahagian dalam usus besar
iv) membantu mengelakkan sembelit atau mengurangkan masalah sembelit terutama di kalangan warga tua.
v) ia juga membantu pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus
vi) ada juga pendapat yang mengatakan kecang bendi adalah sejenis sayuran yang amat baik untuk mereka yang murung, keletihan atau rasa tidak selesa/sihat.
vii) ia juga boleh membantu merawat ulcer dan mengurangkan kekejangan pada sendi
viii) sifatnya yang beralkali membantu menutralkan asid dalam badan sekali gus dapat membantu mengurangkan masalah penghadaman
ix) juga ia dapat membantu radang paru-paru, sakit kerongkong serta kesakitan pada dubur.

Bagi mereka yang ingin resepi mudah masak bendi, di sini saya perturunkan resepi pembuka selera.

Bahan:
10-15 tangkai/batang bendi
2 biji cili masak/merah/besar
2 keping asam jawa
sedikit garam
20 ekor udang sayur (yang kecik2 tu)
1 ulas bawang kecil
1 ulas bawang putih.
Cara memasak:
Masukkan 2 cawan air ke dalam periuk .Masukkan udang/garam/asam keping/gelugur( boleh tambah sedikit asam jawa- untuk mendapat rasa manisnya). Bila dah mendidih, masukkan bendi. Biarkan hingga bendi lembut. Angkat dan hidang.(kalau naka bg rasa sedap lagi boleh masukkan belacan atau budu!)- Bendi jangan dipotong kerana bila sudah dipotong lendirnya akan keluar, kurang sedap.

Monday, November 24, 2008

Ubi kentang

Masa saya kecik-kecik dulu,time sekolah rendah, 60-an, masih pakai papan batu ganti buku tulis. Memang save! Time tu cikgu seni lukis ( dulu lukisan) tak lah terlatih sangat. Kalau nasib cikgu tu ada bakat semulajadi memang anak-anak muridnya ramai jadi artist atau berbakat melukis. ( mungkin Dato Lat tu dapat cikgu art yang terlatih kut).
Perbelanjaan kelas seni pun boleh dikira sikit ja. Yang mahal tu masa nak kena bawak ubi kenting, untuk projek` rubber stamp'.
Khabarnya sekarang ni pun cikgu sekolah rendah masih guna ubi kentang!

Ubi kentang ni selain boleh buat dikari, sayur, bingka, ( orang utara kata bengkang), kentang lecek, fries,roti( banyak kat super)_ ada khasiat serta kegunaan seharian yang kita tidak terfikir pun!

a) kadang-kadang kesan warna kunyit di tangan kita sukar nak hilang ... cuba gosok dengan ubi kenatang (kena kupas kulit dulu)
b) Alamak! gulai masin. terlebih garamlah tu. Masukkan 3/4 biji kentang ( potong besar-besar). Biarkan sampai empuk. Keluarkan kentang tu ( boleh digunakan untuk masakan lain). Cuba rasa kuah tu sekalilagi. Tentu dah kurang masin kan?
c) Kadang-kadang naka tukar lampu yang mudah tu jadi susah. Mengapa? mentol lama. Pusing-punya pusing kacanya pecah. Yang tinggal tu filamen. Nakpusing dah tak boleh. ( cuba potong ubi kentang (melintang), tekan ke atas filamen perlahan-pahan, kemudian pusing ke kiri ...senag ja)
d) Pokok bunga anda di dalam pasu dimakan ulat? Potong kentang, letak di keliling perdu pokokbunga tu. Ulat-ulat tu akan tertarik dengan kentang tu. Mudahlah anda memusnahkan nya. tak percaya cuba. Kalau tak berjaya, cari alternatif lain.
e) Di hari minggu,kita ada banyak masa yang terluang! Masa untuk mengurus diri. (waktu/hari bekerja memang tak sempat,faham sajalah. Apatah lagi suri2 yang bekerja di KL. Sibuk!
Pagi Sabtu tu memang kita sempat tenung-tenung kat muka. Kalau nampak kesan-kesan kedut/bengkak, membuatkan kita lebih tuan dari usia yang sebenar. jangan risau, ambil hirisan kentang dan letakkan di mata. Biarkan 10-15 minit. Lihat kesannya. kosnya pun jimat.
f) Nasi lembek - kupas sebiji kentang. Hiris keping-keping dan masukkan ke dalam nasi yang mentah tu.biarkan selama 5-10 minit. angkat.
g) Nak tanggalkan kerak pada Kuali/periuk. Rebus kulit kentang dalam bekasyang berkerak tu selama 10 minit dan lihat kesannya.
h) Makan kentang rebus baik bagi orang yang menghidap darah tinggi

Tuesday, November 18, 2008

Khasiat Belimbing (Buluh)

Belimbing buluh ni sebenarnya ada dua jenis; buah yang berwarna kuning dan hijau - keduanya rasa masam.( Its known as cucumber tree amongst westerners). Sedap dibuat masak lemak dengan udang atau pun tumbuk saja dengan sambal + udang kepal (utara). Yang dah kering tu di sebelah utara dibuat acar. Katanya orang kelate masukkan sebagai ramuan singgang.
Dalam kehidupan seharian, asam ini yang kaya dengan asid oksalik digunakan untuk menghilangkan kesan-kesan degil di tangan atau kesan karat di pakaian dan kadang-kadang digunakan jugak untuk mencuci barang-barang tembaga atau suasa.
Khasiat perubatannya banayak juga, antaranya ...
1) penawar batuk - daun, bunga serta buah belimbing buluh direbus,ditapis dan diminum 3 kali sehari.
2) daun belimbing buluh juga boleh digunakan untuk menghalau lalat. Tidak susah , ambil saja duan agak secekak, kibas saja beberapa kali di meja makan. Lalat tidak akan datang lagi kerana dipercayai bau daunnya tidak digemari lalat.
3) merawat darah tinggi. Minuman airrebusan daunnya
4) merawat penyakit kelamin
5) merawat radang dubur
6) daunnya yang ditumbuk boleh menghilangkan gatal-gatal, bengkak cantik, reumatik, dan bengkak-bengkak kulit, sakit gigitan serangga
7) daun digosok pada tumit/tapakkaki untuk menghilangkan sakit akibat memakai kasut tumit tinggi.
( Pantang: orang yang mempunyai penyakit angin medu tidak boleh makan buah ini)

Friday, November 14, 2008

Limau Nipis

Limau nipis ni kadang-kadang orang panggil juga limau asam. Banyak sangat faedahnya.
Kalau bercakap pasal makanan tentulah tak lari dari perencah sambal, laksa, budu, cencalok, mee rebus, mee goreng. Pendeknya jenis-jenis mee kalau tak di pasangkan dengan limau nipis memang tak bangkit. Dari segi minuman pula kita ada limau ais, teh 'o' ais limau, sirap limau. Menu kenduri kahwin pula tak lengkap jika tiada acar limau. Apatah lagi dengan berjenis-jenis tom-yam, tak berselera kalau tak dimasukkan limau nipis.
Limau nipis ni sebenarnya banyak khasiat perubatan!
1) hilangkan bau ketiak- masukkan sedikit kapur makan ke dalam botol yang mengandungi air suam. perah sebiji limau nipis. Goncang hingga agak sebati. Titik pada kadar 5, 6 titik di ketiak. Usap agar rata.
2) menghalau semut - kalau dah tak larat nak layan semut di atas meja makan, potong nipis-nipis sebiji atau 2 biji limau nipas. Letakkan di tepi meja.
3) Masalah selesema - hiris sebiji limau nipis, tumbuk 2 batang serai serta sehiris halia. Masukkan ke dalam gelas tembikar. Tuang air panas /mendidih. Tutup selama 4,5 minit. Buka penutup dan sedut wapnya. Ulang sehingga pulih.
4) menghilangkan kurap dan panau - campurkan serbuk belerang dengan minyak kelapa dan air limau nipis. Sapu pada panau selama seminggu.
5) ubat sakit kepala - sediakan 2 biji limau nipis yang dibelah dua. Rendam dalam air buat seketika. kemudian gosoklah di merata-rata kulit kepala. Selain daripada dapat mengurangkan sakit kepala, ia juga dapat membantu menyelesaikan masalah kelumumur.
6) masalah mabuk dan pitam - ambil sebiji limau nipis. Ketukkan buah tersebut agar ia sedikit lembut dan berair. Sedut baunya.
7) agar taugeh tahan lebih lama/segar - rendam taugeh dalam sedikit air. Perah air limau nipis ke dalamnya, nescaya taugeh anda akan lebih lama.
8) nasi jadi putih serta wangi - perah sedikit limau nipis semasa membasuh beras ( bilasan yang terakhir). Masak seperti biasa. Nasi anda akan lebih enak dan baunya lebih menyelerakan.
9) darah tinggi - perah sebiji limau nipis ke dalam segelas air suam. Minum segelas setiap pagi.

Tuesday, November 11, 2008

Ubat Gigi Tu Bukan Bersihkan Gigi Ja

Sememangnya budak-budak tadika/nurseri pun tahu ubat gigi tu hanya untuk gosok gigi. Orang dewasa pun fikir begitu jugak. Apatah lagi ubut gigi hanya disimpan dalam bilik mandi ja-tidak ada orang mahu fikir apa lagi kegunaannya).
a) Yang berjerawat tu, bagaimana kalau cuba guna ubat gigi sebagai rawatan alternatif. Mudah saja, ambil sedikit ubat gigi, tampalkan di jerawat yang besar tu. Ubat gigi dapat membantu mengeringkan jerawat dan seterusnya menyerap minyak dalam jerawat yang berlebihan tu.
b) Jika anda terpegang benda yang busuk,mungkin bangkai,maka amatlah susah untuk menghilang baunya yang teramat busuk tu. Cuba ambil sedikit ubat gigi dan gosok jari-jari yang busuk tu air.mudah-mudahan berjaya.
c) Kesan crayon di dinding amatlah sukar dihapuskan. Cuba picit sedikit ubat gigi di dinding yang kotor. Gosok dengan kain yang sedikit kasar. Lihat perubahannya.
d) Kesan dakwat di baju juga boleh dicuci dengan menggosok ubat gigi dan di ulang dengan air beberapa kali.
e) Sinki bilik air yang sudah hilang warna asalnya boleh cantik semula dengan menggosok /mencuci/mengelap menggunakan ubat gigi.(lebih murah daripada menggunakan cecair berjenama )
f) Cermin bilik air tu dah lama kelabu. Boleh berkilat semula dengan menggosok ubat gigi,diikuti dengan kain lembut.
g) Cincin dijari berkilat semula. Guna berus gigi lama, gosok ubat gigi bukan jenis gel. Lihat perubahannya selepas menggosok beberapa kali.
h) Mencuci belakang/ iron seterika yang dah bertukar warna menjadi hitam menjadi mudah dengan menggunakan ubat gigi bukan gel. Gosok saja.
i) Buang kesan pijakan di kasut dengan menggunakan ubat gigi dan kain lembut.
j) Hendak buang kesan degil yang melekat di tapak kaki anda - tar contohnya. Cuci dengan ubat gigi dan basuh dengan air banyak2.

Saturday, November 8, 2008

Mabuk, pening, muntah!

Masa kecil-kecil tu bila naik kereta ka, bas ka, makan angin jauh-jauh, memang biasa sangatlah muntah-muntah, pening-pening. Tak tahan. Tapi bila dah besar-besar, dah ada anak, ada cucu kalau masih tak tahan naik kereta jauh-jauh memang sulitlah. Ni ada cerita kawan saya yang isterinya tak boleh naik kereta jauh2 (tak lebih daripada 10 km). Bila balik kampong, dia dengan anak-anak naik kereta, bini naik bas ( ditemani oleh sorang lagi anak yg turut bersimpati). Dah macam-macam ubat dia beli/makan. Bukan tak pernah jumpa doktor malah entah berapa bomoh pun dia dah tak ingat lagi.
Di sini saya catatkan beberapa petua yang orang-tua2 perturunkan. Harap kawan2 yang menghadapi masalah yang sama/hampir sama boleh cuba!
1) Tidur sepuas-puasnya sebelum membuat perjalanan jauh.
2) Guna khasiat madu lebah asli. campur secamca/2 camca madu asli dengan sedikit garam (nak mudah, larutkan sedikit garam tersebut dalam air suam). Minum sebaik-baiknya setengah jam sebelum bergerak)
3) Ambil seketul, dua ubi keledek yang baru. Buang kulitnya, potong kecil2 dan basuh. Bawalah sebagai bekal untuk dikunyah dalam perjalanan.
4) Khasiat halia. ambil sedikit halia muda yang sudah dibasuh. Bawa sebagai bekal untuk dikunyah dalam perjalanan, atau jika tak mampu nak kunyah, potong nipis-nipis, masukkan ke dalam termos air panas.Minum dalam perjalanan.S e l a m a t M e n c u b a

Thursday, November 6, 2008

Charcoal- arang

Harga barang masih tak turun-turun, walau pun minyak dah turun 2 kali. pasal apa? susah nak jawab. Oleh itu nak offset kenaikan harga barang, kita kenalah cari alternatif-alternatif yang boleh mengurangkan perbelanjaan harian.
Kereta kita tu macam rumah nombor dua. Setengah orang berbelanja yang bukan-bukan kerana nak maintain kereta. ( Wangian dalam kereta lebih hebat daripada bilik tidur!).Membazir. Sebenarnya bau kereta ( bau rokok, ikan kering, ais krim masam, susu tumpah, muntah cucu, budu,cincalok,) mudah dihilangkan tanpa memerlukan perbelanjaan yang besar). Bonusnya pulak tahan lebih lama. Beli saja sekilo arang, hancurkan sedikit, masukkan ke dalam tupperware lama. Letak di bawah tempat duduk dan dalam but! Jamin bau hilang dalam masa 3-4 jam. Tambah satu tupperware lagi diisikan dengan daun pandan. Hilang bau tambah wangi! Sila cuba.

Wednesday, November 5, 2008

Kalau Terluka

Tu la. Bila dah luka tu terlari ke sana ke sini cari ubat, minyak angin, iodin, plaster perca kain. Dah jumpa tu ada pula yang dah kering, buruk, kotor, expired. Anak/cucu tak berhenti2 menangis. Kerapkali kita ni sering terlupa nak stok peti ubat kecemasan di rumah. Macam spare tyre dalam but tu lah. Sedar-sedar, tayar belakang bocor, spare tayar kepek.
Jadi eloklah kita tahu sikit tentang jampi-jampi al Quran buat meredakan pengaliran darah akibat luka dan sebagainya. Mudah saja. yang penting Y A K I N.
1) Baca bismillah
2) Baca ayat yang pertama surah Al Lahab ( Tabbat yada abi lahabiu watab )
3) Sewaktu menyebut ' watab' tutup mulut dan i'tiqadkan , pada masa itu darah berhenti
maka darah pun berhenti.

Tuesday, November 4, 2008

Beringat Sebelum Makan

Banyak sekali orang tua-tua berpesan jika kita bermusafir, berpemergian atau melakukan perjalanan yang jauh atau pun berpindah ke tempat yang baru, kita perlu makan di kedai. Biasalah kita memilih kedai yang ramai orang/pelanggan. Lumrahny kalau kedai tu ramai pengunjung tentu sedap atau murah atau layanan yang mesra. Cuma kadang-kadang kalau kedai tu terlalu laris timbul pula rasa iri hati di kalangan tertentu. Tentu anda faham. Jadi sebagai pengguna yang bijak kita perlu sering berhati-hati. mana tahu! Oleh itu sebagai jalan yang mudah ambil pesanan ni. Jika kita rasa was-was, sebelum makan di mana-mana pun, bacalah surah al Quraisy. Mudah-mudahan kita sentiasa dilindungi Allah Subhanahu Wata'la!

Saturday, November 1, 2008

Petua petik daun pandan

Ini petua orang-orang tua ja. ( tak boleh nak bukti secara saintifik). Bila kita
nak petik/ambil daun pandan wangi tu eloklah pulas dengan tangan saja, tak usah guna pisau atau gunting. Kononnya untuk mengekalkan kewangaian daun pandan tu supaya tahan lebih lama.